ZOOM! MALAYSIA TRAVEL FAIR

ZOOM MALAYSIA TRAVEL FAIR

ZOOM! MALAYSIA TRAVEL FAIR

 
YABhg. Datin Paduka Seri Jeanne Abdullah akan merasmikan Zoom! Malaysia Travel Fair pada 21 November 2008, jam 8 malam, di Dataran Car Park, One Utama, Petaling Jaya. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said.

Zoom! Malaysia Travel Fair bertujuan  untuk mempromosikan produk-produk pelancongan domestik secara lebih bersepadu, di samping mempergiatkan lagi promosi Kempen Zoom! Malaysia. Lebih daripada 30 pengusaha pelancongan dari seluruh negara akan menyertai acara ini yang berlangsung daripada 21 hingga 23 November.

Para pengusaha berpeluang untuk menawarkan pakej-pakej pelancongan secara terus kepada pengunjung-pengunjung dengan harga yang kompetitif dan berpatutan. Di samping itu, ia menggalakkan pembangunan dan pemasaran pakej pelancongan domestik secara lebih kreatif, terutamanya bagi destinasi-destinasi yang belum lagi dikenali oleh orang ramai. 

Pakej-pakej ini telah digubal bagi memenuhi citarasa berbilang kaum Malaysia dan meliputi segmen-segmen yang telah dikenalpasti iaitu murid-murid sekolah, para pelajar tempatan dan asing, golongan belia, pasangan muda, keluarga, pesara, warga emas dan ekspatriat. Pakej-pakej tersebut meliputi pelbagai tema termasuk pelancongan eko, rekreasi, pusat peranginan tanah tinggi, pulau-pulau, peninggalan sejarah, pakej ibadah qurban dan aqiqah.

Konsep pameran yang digunakan adalah berteknologi tinggi dan terkini yang  dikenali sebagai sistem Quad Dome. Ia mempunyai sistem interaktif 360° yang mana pelbagai imej atau visual akan dipancarkan di skrin gergasi berbentuk dome yang boleh dilihat dari dalam dan luar dome.
      
Orang ramai juga boleh menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang dijalankan di sekitar kawasan pameran seperti aktiviti lasak wall climbing, flying fox, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah. Terdapat juga persembahan jalanan dan persembahan muzik.  Hadiah cabutan bertuah termasuklah pakej percutian ke Desaru, Pulau Kapas; Sandakan dan Melaka.

Para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi sebuah kereta MyVi 1.3 Ezi, melalui Discover Smiles, Zoom! Malaysia, Miliki Kereta (Discover Smiles, Zoom Malaysia, Keep The Car) anjuran Esso and Mobil, di samping tawaran-tawaran lain yang menarik.

Zoom! Malaysia Travel Fair akan dibuka untuk orang ramai dari 2 petang hingga 10 malam pada 21 November dan 10 pagi hingga 10 malam pada 22 dan 23 November. Masuk adalah percuma.

ZOOM! MALAYSIA:
Kempen Zoom! Malaysia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Mei 2008 bagi memperkenalkan destinasi pelancongan secara lebih fokus.

Setakat ini, kempen Zoom! Malaysia telah dilancarkan di  Desaru di Johor, Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah dan Cameron Highlands di Pahang, Muzium Tentera Darat Negeri Sembilan serta Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang.

Ianya  merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, kempen tersebut menggalakkan aktiviti percutian dalam negara sendiri secara terancang di kalangan rakyat Malaysia. Kempen ini juga dapat mengeratkan kerjasama di antara ahli-ahli sektor awam dan swasta dalam mempromosi produk dan tarikan pelancongan serta acara-acara khas.

Penekanan terhadap pelancongan domestik ini juga bertujuan untuk mengurangkan aktiviti pelancongan rakyat Malaysia ke luar negara. Ia akan  mengimbangi  pengaliran wang keluar negara dan mengurangkan kesan kemelesatan ekonomi global.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Zoom! Malaysia, sila hubungi Pengarah Bahagian Pasaran Domestik dan Singapura, Tourism Malaysia, Tel: 03-2615 8521 / 03-2615 8188; Faks: 03-26935406 atau Emel: enq-domesticpromotion@tourism.gov.my.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 19 November 2008
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Daryl Yep di talian 03-2615 8188
Laman Web: www.tourism.gov.my

Leave a Reply